Selasa, 6 Disember 2011

SENGGARAAN KOMPUTER

PENGENALAN KEPADA SENGGARAAN SISTEM KOMPUTER
Kandungan:

·          Defini dan Kepentingan Senggaraan
·          Senggaraan Cegahan Aktif & Pasif
·          Perlindungan Data
·          Pembersihan Perkakasan
·          Pemeriksaan Luaran & Dalaman Komputer
·          Pembinaan Rekod & Dokumentasi


Defini dan Kepentingan Senggaraan

 Komputer selenggara  ialah tindakkan tersusun / terangcang bagi mencegah ataupun membaiki sebarang kerosakan yang mengakibatkan kegagalan dalam fungsi sesebuah sistem komputer. (baiki / elak komputer rosak)

Boleh di katakan proses penyenggaraan ini melibatkan 10% kemahiran mekanikal, 30% kemahiran teknikal, dan 60% nasib. Kini, industri senggaraan sistem komputer telah dengan berkembang dengan pesatnya, sejajar dengan perkembangan industri perkomputeran dengan pulangan keuntungan bernilai jutaan ringgit. Pengguna-pengguna korporat lazimnya berbelanja ribuan ringgit setiap bulan untuk tujuan pentadbiran dan penyenggaraan sistem komputer syarikat mereka. Walaupun tugas penyenggaraan bukannya mudah, namun ia adalah cabaran yang amat ‘menyeronokkan’.

Proses penyenggaraan adalah amat penting. Selain mengatasi kegagalan sistem apabila kerosakan berlaku, senggaraan yang berjadual juga mampu mengelakkan kegagalan sistem yang teruk sebelum ia benar-benar berlaku. Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Baik pulih belum tentu dapat membaiki sistem yang rosak, sebaliknya pencegahan sejak peringkat awal melalui penjadualan senggaraan mampu mengelakkan  daripada berlakunya kerosakan sistem.

Senggaraan Cegahan Aktif & Pasif

Cegahan  adalah kaedah pertahanan pertama bagi mengelakkan  kegagalan atau kerosakan sistem komputer. Kegagalan atau kerosakan biasanya adalah berpunca daripada keadaan persekitaran di mana sistem komputer itu ditempatkan. Oleh itu, perancangan  jadual penyenggaraan yang rapi adalah perlu.

Cegahan Aktif

Pencegahan aktif adalah prosedur yang dilakukan bagi menjadikan PC tahan lebih lama dan kurang bermasalah. Kaedah pencegahan ini melibatkan pembersihan sistem dan komponennya secara berkala. Teknik ini melibatkan aktiviti pembersihan komponen, mengemaskini pemasangan cip dan penyambung, serta format semula cakera keras (harddisk).

Kekerapan teknik pencegahan aktif perlu dilakukan bergantung kepada keadaan persekitaran dan kualiti komponen sistem. Sekiranya persekitaran sistem terlalu kotor atau berhabuk, seperti dalam persekitaran bermesin, berjentera berat atau stesen minyak, anda mungkin perlu membersihkan sistem anda sekurang-kurangnya setiap tiga bulan atau kurang. Bagi persekitaran biasa seperti dipejabat pula, pembersihan yang dilakukan pada setiap bulan ataupun setahun sudah memadai.

Selain itu, prosedur pencegahan ini juga melibatkan aktiviti ‘backup’ ( pendua salinan) data dan persekitaran kritikal seperti sektor boot, jadual sistem FAT, dan struktur direktori cakera keras. Anda juga harus ‘defragment’ (aktiviti penyusunan fail) cakera keras sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengekalkan kelancaran dan kelajuan fungsi cakera keras.

Berikut adalah senarai simak mingguan penyenggaraan cakera keras:

1.    Backup semua data dan fail penting
2.    Buang semua fail-fail sementara sistem:
a.    *.tmp
b.    ~*.*
c.    *.chk
d.    Fail-fail sementara dan rekod lama internet
3.    Kosongkan ‘recycle bin’
4.    Jalankan program defragment

Berikut pula adalah prosedur penyenggaraan bulanan:

1.    Sediakan cakera pemula sistem (startup disk)
2.    Simak dan ‘install’ (masukkan) semua ‘drivers’ (pemacu) kad video, kad bunyi, modem, dan perkakasan lain.
3.    Simak dan install ‘update’ (pembaharuan) sistem pengoperasi
4.    Simak dan install update program antivirus
5.  Bersihkan sistem termasuk skrin monitor, papan kekunci, pemacu CD/DVD, pemacu disket, tetikus dan lain-lain
6.    Pastikan bahawa semua kipas sistem berfungsi dengan sewajarnya, termasuk heatsink (penyalir haba) CPU, bekalan kuasa, dan kipas perumah (casing).


Cegahan Pasif

Pencegahan pasif adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi sistem daripada gangguan persekitaran, seperti menggunakan perkakasan perlindungan bekalan kuasa (bagi membekalkan kuasa yang bersih, stabil serta suhu yang terkawal), dan mengelakkan gegaran keterlaluan ke atas sistem. Dalam kata lain, pencegahan pasif bermakna anda melayan sistem anda dengan baik.

Pencegahan pasif melibatkan penjagaan sistem melalui penyediaan persekitaran terbaik buat sistem – fizikal dan elektrikal. Perlindungan fizikal termasuk memastikan suhu persekitaran sistem adalah baik, aliran udara dan haba yang baik, bebas daripada pengumpulan habuk dan asap,  serta bebas hentakan dan gegaran. Perlindungan letrik pula melibatkan aktiviti perlidungan daripada ESD (electrostatic discharge), hingar talian kuasa, dan gangguan frekuensi radio.

Langkah-langkah yang boleh anda ambil sebelum memasang PC baru:
1.    Sediakan tempat yang sesuai untuknya (bebas kotoran habuk dan asap)
2.    Jangan tempatkan PC di hadapan tingkap (komputer tidak harus diletakkan di bawah cahaya matahari)
3.    Pastikan suhu persekitaran (bilik) adalah sestabil yang mungkin
4.    Bekalan kuasa haruslah dibumikan dan stabil.
5.    Pastikan sistem jauh daripada pemancar gelombang radio dan sebarang sumber kuasa berfrekuensi radio

Perlindungan Data

Komputer yang kita gunakan di dalam rumah lazimnya menyimpan data-data yang amat sulit dan berbentuk peribadi. Bagi sektor korporat pula, sistem komputer digunakan bagi tujuan memproses dan menyimpan data-data yang amat kritikal kepada syarikat. Data-data ini kadang-kala bernilai ribuan malahan jutaan ringgit; dan kadangkala tidak ternilai harganya.

Kerosakan sistem kadang kala boleh membawa kepada kehilangan data. Oleh itu, proses ‘backup’ / perlindungan data adalah antara proses yang paling penting dalam  proses senggaraan.

Terdapat pelbagai cara bagi melindungi data. Antaranya ialah:
  1. Membina salinan data
  2. Melakukan inkripsi* dan membina hak capaian data.

Dalam topik ini, kita akan hanya menyentuh berkenaan proses membina salinan data. Proses salinan data ini boleh dilaksanakan ke dalam beberapa medium seperti:
  1. Cakera liut (disket)
  2. Cakera padat (CD-R,CD-RW, DVD-R, DVD-RW, DVD-RAM)
  3. Cakera keras (harddisk)
  4. Memori Flash (thumb-drive, pen-drive, usb-drive, dll.)

Sebagai seorang penyenggara, anda perlu tahu kesemua kaedah ini. Anda juga perlu ingat bahawa cakera keras (harddisk) adalah antara komponen paling penting sistem komputer! Sekiranya anda membaiki / menyenggara komputer, pastikan anda membuat salinan bagi cakera keras tersebut. Kebanyakan penyenggara dari kedai-kedai komputer sering mengambil jalan mudah dengan meng-‘format’ cakera keras pengguna dan meng-‘install’ Windows baru tanpa mempedulikan data-data yang ada di dalamnya.

*inkripsi = ubah kepada bentuk yang terkod / tidak dapat dibaca dengan cara biasa

Pembersihan Perkakasan

Tujuan pembersihan adalah bagi mengelakkan gangguan akibat kehadiran habuk atau lain-lain bahan yang boleh mengganggu kelancaran sistem. Walaupun nampak leceh dan kecil, tugas ini masih penting sebagai satu daripada aktiviti senggaraan.

Antara kebaikan pembersihan ini ialah:
  1. Membersihkan komponen komputer daripada habuk dan kekotoran
  2. Mengelakkan kipas sistem daripada tersekat dan berhenti berpusing
  3. Mengelakkan pemanasan lampau cip-cip sistem yang boleh mendatangkan kerosakan akibat gangguan fungsi penyejuk seperti kipas dan sirip aluminium
  4. Mengelakkan litar pintas akibat kehadiran lembapan dan partikel pengalir elektrik dalam habuk

Anda juga perlu ingat bahawa sistem komputer dibina dengan pelbagai cip-cip yang sangat sensitif kepada lembapan dan ‘elektrostatik’. Elektrostatik adalah cas-cas kecil yang lazimnya terhasil daripada geseran dua bahan yang berlainan (seperti geseran kain baldu dengan rod kaca). Oleh itu, proses pembersihan ini perlu dilakukan menggunakan alat-alat yang sesuai.



Pemeriksaan Luaran & Dalaman Komputer

Kegagalan fungsi komputer boleh diatasi menggunakan 2 kaedah pemeriksaan iaitu pemeriksaan luaran dan pemeriksaan dalaman komputer.

Pemeriksaan luaran membabitkan pemeriksaan sambungan kabel-kabel perkakasan komputer kepada ‘system unit’, dan sambungan sistem kepada punca kuasa elektrik. Sambungan yang terputus akan menyumbang kepada kegagalan fungsi sistem. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai pemeriksaan secara fizikal ke atas perkakasan sistem komputer yang dapat dilihat secara kasar bagi mengenalpasti masalah yang mungkin menimpa sistem.

Pemeriksaan dalaman pula melibatkan ‘pembedahan’ ke atas perkakasan sistem bagi mengenalpasti masalah yang timbul dan tidak dapat dikenalpasti secara mata kasar. Ia juga melibatkan penggunaan alatan tertentu bagi tujuan diagnosis (pengenalpastian). Sebagai contoh, pemutar skru mungkin digunakan bagi membuka ‘casing’ (perumah) sistem untuk meninjau lebih lanjut perkakasan sensitif yang dilindungi bagi mengesan punca kegagalan fungsi sistem, meter pelbagai digunakan bagi mengesan keterusan aliran arus dalam litarnya, ataupun penggunaan perisian dengan arahan tertentu bagi mengesan masalah komunikasi dan kefungsian sesuatu perkakasan.

Pembinaan Rekod & Dokumentasi

Seorang penyenggara yang cekap dan professional selalunya akan melakukan catatan rekod dan dokumentasi khas bagi segala tugas yang telah dilaksanakannya. Selain memudahkan perjalanan kerja, ia juga boleh dijadikan bukti kejujuran dalam melaksanakan tugas seharian.

Penyediaan rekod dan dokumentasi membolehkan penyenggara dan juga pentadbir mengesan sejarah kerosakan dan baik pulih sistem perkomputerarn mereka. Ia juga membolehkan institusi mengenalpasti tempoh jaminan dan membuat anggaran bagi perkembangan sistem mereka. Antara kebaikan menyediakan rekod dan dokumentasi ialah:
  1. Menyimpan butir-butir lengkap mengenai sistem perkomputeran yang digunakan (kos, jaminan, syarikat pembuat / pembekal).
  2. Menyimpan senarai tugas penyenggaraan yang telah atau bakal dilaksanakan ke atas sistem.
  3. Menyimpan data berkenaan individu yang terbabit dengan penyenggaraan sistem.
  4. Memudahkan rujukan berkenaan teknik baik pulih sistem yang pernah bermasalah, dan diaplikasikan bagi menyelesaikan masalah kerosakan baru dengan situasi yang hampir sama.
  5. Membolehkan institusi membuat anggaran jangka hayat sistem dan merangka perkembangan bagi sistem mereka untuk masa hadapan.

Tiada ulasan: